Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Berita Semasa

16 Jun 2021, kita dikejutkan dengan satu kejadian apabila telefon jenama YES yang baru diterima tidak sampai sebulan telah pun meletup dan terbakar. Telefon tersebut digunakan oleh seorang murid berusia sembilan tahun semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Keadaan telefon Yes Altitude yang meletup semasa sesi PdPR sedang berlangsung. (Gambar dari SinarPlus)

Telefon tersebut difahamkan telah diperoleh daripada Program Jaringan Prihatin yang diumumkan oleh kerajaan malaysia bagi membantu keluarga B40 mendapat kemudahan akses internet terutamanya ketika sedang menjalani sesi PdPR.

Kejadian ini telah mengundang banyak persoalan tentang kualiti telefon yang dijanjikan oleh pihak kerajaan melalui program ini. Timbul pula pelbagai kebimbangan dalam kalangan masyarakat pada telefon percuma yang diberikan. 

Tambahan itu pula, Exco negeri Perak turut menjelaskan bahawa telefon yang diedarkan ini tidak sesuai digunakan untuk bermain game atas talian kerana prestasi telefon tersebut akan terjejas berikutan pemasangan aplikasi seperti game yang berat.


Pengalaman Saya Bersama Yes Altitude

Untuk pengetahuan semua, telefon Altitude Yes ini telah pun diguna pakai oleh warga pendidik pada satu masa dahulu semasa tempoh pelaksanaan 1Bestarinet. Saya akui pernah menerima dan menggunakan telefon jenis ini buat masa yang singkat. Pada masa itu kami diberikan Yes Altitude versi lama.

Telefon Altitude saya yang diberikan pada tahun 2016.

Sebenarnya, bagi mengalakkan warga guru menggunakan Frog VLE (pelantar pembelajaran atas talian) dulu-dulu, salah satu caranya ialah dengan memberikan telefon Altitude Yes beserta 2GB data setiap bulan secara percuma kepada semua warga guru yang berada di sekolah.

Link : Pengagihan Telefon Yes Altitude Kepada Warga Guru

Pada zaman itu, telefon Yes Altitude bukanlah satu peranti yang jauh berbeza dengan peranti jenama lain dari segi performance. Terdapat juga beberapa peranti murah lain yang setara dengannya. Dan pada masa itu, telefon YES ini masih lagi  releven diguna pakai walaupun hanya dijana dengan 8GB ROM dan 1GB RAM sahaja.

Saya sendiri pernah menggunakan telefon ini untuk merakam bahan pengajaran saya dan telah dimuat naik ke dalam YouTube. Kualiti kameranya berada pada tahap yang serderhana dan memuaskan.


Mengapa Guru Tidak Menggunakan Telefon Yes Altitude Lagi?

Setelah 1Bestarinet ditamatkan, rata-rata rakan guru tidak lagi menggunakan telefon YES ini dengan alasan :

1) 8GB storan tidak cukup bagi menampung aplikasi wajib ada seorang guru seperti Whatapps, Google Classroom, Telegram dan lain-lain lagi. Selain daripada itu, guru banyak mencari bahan di Internet dan lama kelamaan storan akan mudah penuh. Saya punya telefon 64GB ROM pun telah hampir penuh. 

2) 1GB RAM tidak cukup menampung multitasking aplikasi pada satu-satu masa. 

3) Ketahanan bateri yang singkat. Perlu dicas 2-3 kali sehari.

4) Tiada kemaskini sistem android. Saya punya YES pun masih android 5 (Lollipop). Lama-kelamaan android 5 tidak lagi dapat menyokong aplikasi-aplikasi yang ada.

5) Jika berlaku kerosakan, membeli peranti yang baru adalah lebih praktikal berbanding membaiki telefon Yes.

6) Telefon yang sangat  terbatas seperti ketidakupayaan untuk melakukan mirroring atau pun screen casting. Kalau dapat pun, telefon akan menjadi perlahan, panas dan akhirnya tidak boleh digunakan.


Mengapa B40 Perlukan Telefon yang Lebih Baik.

Dan pada hari ini, telefon yang diagihkan kepada golongan B40 adalah tidak jauh berbeza dengan telefon Yes yang pernah saya gunakan dulu. Telefon Altitude 3 masih menggunakan 8GB ROM dan 1GB RAM yang dikuasakan oleh Android 10 Go. Walaupun begitu, ada juga individu yang memperoleh telefon Yes Altitude 4 (2GB RAM & 16GB ROM) yang sedikit lebih baik berbanding versi sebelumnya.

perbandingan antara telefon yes altitude 3 & 4
Perbandingan Yes Altitude 3 & 4

Walaupun pengagihan telefon ini bertujuan baik dan mulia, tetapi kualiti telefon ini bagi saya adalah sangat tidak sesuai sama sekali digunakan pada tahun 2021 berdasarkan point-point di atas.

Cuba bayangkan semasa sesi PdPR berlangsung, kemungkinan aplikasi yang akan digunakan murid adalah seperti YouTube, Google Meet, Google Form (menjawab kuiz), Google Classroom, pelayar internet seperti Google Chrome dan lain-lain. Dan terdapat lebih satu aplikasi yang diguna pakai dalam satu masa dan kesemua aplikasi ini hanya disokong dengan 1GB RAM sahaja. Mampu ke?