Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Zaman Saya Belajar Dulu

Pada zaman saya di sekolah rendah sekitar tahun 1998, cikgu Matematik saya akan berusaha membawa banyak alat bantu mengajar ke kelas. Sebagai contoh, apabila mengajar konsep masa dan waktu, sudah tentulah alatan wajib ada ialah jam analog.

(sumber)

Saya ingat lagi pada zaman itu. Cikgu hanya membawa sebuah jam sahaja ke kelas. Itu pun tidaklah terlalu besar. Sedang-sedang dilihat oleh murid yang duduk di pertengahan barisan meja. Bagi yang duduk di bahagian belakang, amat sukar untuk melihat pergerakan cikgu dalam mengoperasikan jam tersebut. Dahulu, konsep masa dan waktu merupakan di antara tajuk yang sukar difahami kerana masa tidak boleh dilihat tetapi boleh dirasa.

Sekarang, dunia telah pun berubah semenjak komputer mula diperkenalkan. Banyak bahan bantu mengajar boleh didapati di dalam internet dengan mudah seperti jam analog digital. Dengan perubahan ini, guru telah mula beralih kepada bahan manipulatif maya berbanding bahan manipulatif maujud/ fizikal/ konkrit.

Adakah ini bermaksud bahan manipulatif maujud tidak berkesan dalam memberi pemahaman kepada murid di sekolah?

Sebenarnya, bahan manipulatif maujud/ fizikal/ konkrit adalah yang utama. Manakala bahan manipulatif maya pula bertindak hanya sebagai sokongan.

Digital Manipulatives are computationally enhanced versions of physical objects. The goal is to make more concepts explorable via direct manipulation (diadaptasi daripada sumber).

Secara ringkasnya, bahan manipulatif maya ialah versi bahan fizikal yang ditambah baik yang bermatlamat dalam memberi ruang dan peluang kepada murid meneroka sesuatu konsep matematik itu dengan lebih baik dan bermakna.

Dalam penulisan kali ini, saya kongsikan salah satu bahan manipulatif maya yang menarik untuk digunakan guru bersama anak-anak murid di sekolah.

1: Toy Theater

Ialah satu koleksi permainan pendidikan interaktif untuk murid sekolah rendah. Semua bahan bantu belajar yang disediakan adalah PERCUMA dan sesuai digunakan pada komputer, laptop, tablet dan juga telefon pintar.


Salah satu bahan yang saya cuba adalah Area Perimeter Explorer. Apa yang menarik ialah kita dapat membentuk apa jua bentuk mengikut kehendak kita. Dalam masa yang sama nilai luas dan perimeter bentuk tersebut turut dikirakan sekali.

Sebagai contoh, guru meminta murid menyediakan bentuk yang mempunyai luas = 5 unit persegi dengan perimeter terkecil. Dan kemungkinan hasilnya seperti ini :

Kita boleh lihat murid bermain-main dengan bahan ini dan dalam masa yang sama dapat membina hubungan di antara konsep luas dan konsep perimeter dengan lebih baik.