KUALA LUMPUR: Kunci utama untuk setiap pegawai serta anggota polis sentiasa disegani dan disanjung tinggi ialah disiplin, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Justeru, beliau mengimpikan supaya semua anak buahnya memiliki disiplin tinggi, sekali gus disanjung sebagaimana guru yang sentiasa dihormati dan disayangi.

"Secara keseluruhan, seseorang guru tidak melakukan kerja tidak elok. Dia tidak melepak minum teh apabila habis kerja, sehingga dilihat sebagai contoh kepada pelajar, ibu bapa dan masyarakat di sekelilingnya.

"Saya benar-benar mendambakan agar setiap pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat disanjung sama seperti masyarakat menghormati dan menyanjungi guru,"

katanya pada sesi wawancara khas di Bukit Aman, di sini, hari ini. 


Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, antara perkara harus dielakkan oleh mana-mana anggota polis ialah membuang masa tanpa sebab.

Beliau berkata, ia termasuk melepak di kedai makan dan restoran apabila habis kerja atau sesuatu operasi yang dijalankan.

"Sepatutnya apabila habis kerja, mereka pulang ke rumah sama ada untuk meluangkan masa bersama keluarga atau berehat, dan bukan membuang masa dengan melakukan perkara negatif seperti berhibur di pusat hiburan atau ke kelab karaoke.

"Apabila segelintir gemar membuang masa di luar dengan aktiviti tidak berfaedah, ia akan menimbulkan rasa kurang hormat masyarakat terhadap polis," katanya.

Abdul Hamid berkata, beliau ingin mengembalikan kegemilangan suatu masa dulu di mana setiap pegawai dan anggota polis disanjung serta dipandang tinggi oleh masyarakat.

Sumber gambar dari Facebook Rasmi PDRM

Sumber : Berita Harian Online, 30 Disember 2020