Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Kronologi Data 120GB & Telefon Percuma

Pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, guru dan murid dilarang untuk hadir ke sekolah bagi meneruskan pendidikan seperti biasa. Hal ini adalah bagi mengekang virus Covid-19 daripada tersebar dan menjangkiti guru dan murid di sekolah.

Oleh hal demikian, guru dan murid diarahkan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah masing-masing. Walaupun begitu, bagi murid yang tinggal di kawasan luar bandar, mereka tidak mempunyai gajet/ peranti dan data internet untuk tujuan tersebut.

Pihak YTL Foundation dengan kerjasama YES dan FrogAsia telah menyediakan data mudah alih dan bahan pembelajaran atas talian secara percuma kepada semua pelajar keluarga B40 yang berdaftar di sekolah kerajaan di Malaysia yang dinamakan sebagai Inisiatif Belajar Dari Rumah.

Membantu Keluarga B40 Isi Borang

Berita gembira ini telah tular dan terdapat beberapa ibu bapa B40 yang bertanyakan kepada saya tentang hal ini dan mereka telah meminta bantuan saya untuk mengisi borang permohonan tersebut. Hal ini kerana mereka tidak tahu untuk mengisi borang yang disediakan.


Untuk tujuan tersebut, saya telah mendapat persetujuan daripada pihak ibu bapa terlebih dahulu agar membolehkan data dan maklumat mereka digunakan sepanjang proses pendaftaran ini.

Alhamdulillah, terdapat beberapa keluarga B40 yang telah saya bantu untuk mendapatkan peluang ini dan mereka sudah pun menerima telefon dan sim daripada pihak YTL Foundation.

Jawapan Daripada Pihak YTL Foundation

Sebelum saya mula mengisi borang bagi pihak mereka, saya telah bertanyakan beberapa perkara yang bermain difikiran pada waktu itu daripada pihak YTL sendiri seperti:

Adakah selepas setahun, telefon dan sim perlu dipulangkan semula?
Pihak YTL memaklumkan bahawa telefon itu menjadi hak milik murid dan telefon beserta sim tidak perlu dikembalikan selepas setahun. 

Adakah pemilik dan keluarga B40 terikat dengan kontrak langganan internet?
Pakej yang disediakan adalah pakej pra-bayar. Selepas setahun, pemilik yang ingin meneruskan perkhidmatan YES, mereka boleh tambah nilai data sim tersebut.

Untuk mengetahui soalan lazim atau pun FAQ tentang hal ini, anda boleh rujuk pautan ini : SINI

Setelah 2 Bulan Berlalu

Saya telah menerima satu emel daripada pihak YTL Foundation bertajuk : [Belajar Dari Rumah] Terima kasih atas pencalonan anda!


Rupa-rupanya, emel tersebut ialah emel penghargaan daripada pihak YTL kerana saya telah membantu mencalonkan keluarga B40 untuk menerima telefon beserta data 120GB untuk setahun.

Alhamdulillah, saya diberi hadiah kad sim dengan data 40GB dengan tempoh sah selama 60 hari daripada pihak YTL.
Terima kasih yer!