Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Pada 24 Ogos yang lalu, saya telah menjalankan aktiviti kolaborasi subjek sejarah atas talian dengan menggunakan Google hangouts dan juga Quizizz. Objektif utama kolaborasi ini adalah untuk mencuba kelainan pedagogi PDPC yang seiring dengan pembelajaran abad ke 21.

Saya bekerjsama dengan Cikgu Fatimah dari SK Sungai Limau, Sungai Besar. Segala jenis bahan disediakan oleh beliau. Saya dan murid hanya menjalankan aktiviti yang telah disediakan olehnya. Pencabar utama dalam kolaborasi kali ini adalah talian internet!


Sudah semestinya Kamera Web sangat diperlukan dalam sesi kolaborasi kali ini. Selain daripada menggunakan laptop atau pun netbook yang sudah pun memiliki kamera web yang sedia terpasang, saya telah mencuba cara "Visualizer" dengan menggunakan telefon samsung Note 2 yang dikawal bersama oleh aplikasi android dan juga perisian PC yang dinamakan sebagai DroidCamX.


Terima kasih kepada Cikgu Romie atas perkongsian ilmu ini hasil daripada bengkel Digital Ink, Green Screen & Google Apps di Kolej Tingkatan 6 Tunku Abdul Rahman yang lalu.


Kolaborasi telah dimulakan dengan sesi memperkenalkan diri oleh ketua kelas kedua-dua buah sekolah. Selepas itu, murid mencuba aplikasi atas talian yang dinamakan sebagai Puzzle, mencantumkan semula keratan rawak gambar sehati sejiwa.

Kemudian, tibalah sesi yang dinanti-nantikan iaitu sesi menjawab soalan Kuiz Kemerdekaan Malaysia dengan menggunakan Quizizz. Alhamdulillah, sekolah saya berjaya memperoleh Emas, Perak dan Gangsa dalam kuiz ini. Yeah!


Pada 10 minit terakhir sebelum berakhirnya sesi kolaborasi ini, terdapat masalah yang tidak dapat dielakkan iaitu ketidak stabilan talian internet Yes 4G. Apabila hari menjelang tengah hari, kualiti internet sudah mula menurun dan berlakunya kesesakan dalam talian. Walaupun saya agak kecewa tetapi daripada situasi ini, murid boleh mempelajari cara bagaimana gambarannya kesesakan talian internet itu. Murid boleh membuat perbandingan di antara kelas biasa dan kelas atas talian seperti ini.


Apa yang boleh saya kongsikan berdasarkan kepada pengalaman ini adalah:
  1. Elakkan komputer guru menggunakan talian yang sama digunakan oleh murid.
  2. Pastikan uji lari kelajuan dijalankan sebelum & semasa sesi kolaborasi dijalankan agar video atas talian tidak terganggu.
  3. Jangan lupa lakukan percubaan terlebih dahulu bagi memastikan kita bersedia dan tahu mengatasi masalah yang bakal timbul nanti.
  4. Sediakan talian internet alternatif, talian peribadi jenis 4G LTE jika berlakunya masalah diluar jangkaan.
  5. Guru perlu sangat bersedia dan  dengan pelbagai jenis dugaan semasa sesi kolaborasi sedang berlangsung.
  6. Guru perlu mahir dengan peralatannya dan juga aplikasi yang digunakan.
  7. Kenapa tidak menggunakan Kahoot untuk menjawab kuiz?. Jawapannya adalah terletak kepada talian internet yang ada. Saya sendiri telah mencuba Kahoot, tetapi malangnya masa tindak balas sebenar Kahoot sangat-sangat perlahan apabila digabungkan dengan Google Hangout. Murid akan terlepas menjawab dan juga menjadi kecewa.
  8. Gunakan 2 projektor. Satu digunakan untuk memaparkan Google Hangout, gambar murid sekolah dan satu projektor lagi digunakan untuk memaparkan reaksi pada laman Padlet yang dikongsikan.
  9. Paling penting, jangan lupa baca Bismillah dan doa!