Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Ya! Setiap orang guru telah dibekalkan dengan peranti Yes Altitude. Peranti ini hanya untuk sekolah yang menerima rangkaian 4G sahaja. Peranti ini berfungsi membantu guru dalam proses PDPC dalam pemberian tugasan, melayari Frog Vle dan juga melayari maklumat lain di Internet. Walaupun begitu, terdapat beberapa isu yang timbul dalam kalangan guru. Apakah isu-isu tersebut?


1) Proses Menunggu yang Lama
Apa yang saya maksudkan adalah mengenai kes bagi peranti YES yang hilang dan rosak, permohonan baru bagi guru baru dan lama. Saya sendiri telah membaca SOP yang diedarkan pada awal-awal penyerahan peranti dulu. Sehingga kini, berita peranti untuk rakan guru yang lain masih lagi tidak kedengaran.



2) Peranti Yes Altitude Tidak Tahan Lasak
Tidak sampai setahun peranti ini diedarkan kepada guru-guru, terdapat kes peranti rosak. Di antaranya ialah peranti gagal berkomunikasi rangkaian 4G dan juga bateri yang telah rosak. Apabila diajukan kepada meja bantuan, perkara yang perlu dibuat adalah dengan membuat laporan kerosakan. Itu sahaja. Untuk proses pembaik pulihan peranti sehingga kini tiada maklumat lagi. Saya sendiri mengalami masalah bateri yang rosak. Saya hanya menggunakan peranti ketika mana kuota peribadi sudah kehabisan dan malangnya akibat sikap cermat saya ini telah mengakibatkan bateri peranti rosak. Pelik kan?

3) Bateri Peranti YES mudah Kering!
Apabila pengguna menghidupkan 'Mobile Data', memang tidak dinafikan bahawa bateri akan cepat habis. Oleh kerana keupayaan baterinya yang agak terhad, peranti sering kehabisan tenaga dan perlu dicas kerapkali. Ini yang saya sendiri alami.

4) Kuota 2Gb Peranti yang Mudah Habis
Saya sendiri merasa pelik dengan kuota 2Gb yang dibekalkan. Kuota ini cepat habis entah ke mana hilangnya. Saya mempunyai pengalaman bagaimana saya memuat turun sebuah perisian berkapasiti 27Mb di internet. Setelah selesai proses muat turun, saya menyemak kuota dan telah berkurang sebanyak 200Mb. Akhirnya saya membuat laporan ke meja bantuan dan akhirnya saya dipersalahkan kerana mereka mengatakan "mungkin" peranti saya sedang mengemaskini perisian di Playstore. Saya sendiri menyaksikan telefon tidak berbuat apa-apa melainkan memuat turun perisian di internet itu sahaja. Kawan saya turut mengeluh mengenai hal yang sama.



5) Tidak Semua Kawasan Mempunyai Rangkaian Yes 4G.
Bagi guru yang menetap di kawasan jauh daripada sekolah dan di kawasan luar bandar, peranti hanya dijadikan sebagai hiasan dirumah kerana tiada liputan Yes 4G. Saya sebagai Guru Admin telah menerima laporan daripada kalangan guru mengenai hal ini dan perkara ini amat mendukacitakan.


6) Tidak Banyak Dongle yang Masih Berfungsi Baik.
Untuk menggunakan baki 2Gb kuota Yes lagi, setiap guru wajib menggunakan peranti lain yang dinamakan sebagai Dongle. Setiap sekolah telah dibekalkan dengan peranti ini pada satu masa dahulu dan sekarang, tidak banyak lagi peranti ini yang berfungsi dengan baik. Kadang-kadang guru perlu berebut untuk menempah peranti ini daripada Guru Admin. Akhirnya, guru mengambil langkah membeli peranti Dongle di pasaran luar dengan harga lebih kurang RM100.



7) Rangkaian 4G yang mudah 'Down'.
Jika dibandingkan dengan rangkaian talian internet daripada syarikat telekomunikasi lain seperti Celcom, Maxis, Digi, Umobile, Webe, hanya Yes 4G sahaja kerap mengalami masalah seperti ini. Saya menulis isu ini berdasarkan kepada keadaan di kawasan saya sendiri. Alhamdulillah, saya menerima bar penuh bagi Yes 4G di rumah dan di sekolah. Walaupun bersignal penuh, tetapi apabila rangkaian telah 'Down' maka itu tidak bermakna lagi.


Boleh rujuk senarai penuh telefon di sini.

8) Simkad YES yang Memilih Peranti!
Kenapa saya katakan begitu. Itulah polisi syarikat mereka di mana simkad YES ini tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan pada mana-mana peranti lain seperti Samsung, Lenovo dan lain-lain melainkan terdapat beberapa jenis telefon yang disenaraikan oleh mereka. Saya cuba untuk menggunakan simkad YES pada telefon jenis ZTE 4G dan malangnya, simkad gagal berkomunikasi dengan rangkaian 4G.

9) Keupayaan Kamera yang Amat Terbatas.
Lihatlah ke dalam pasaran telefon dunia pada hari ini, semua syarikat berlumba-lumba untuk menambah baik kualiti kamera. Bagi peranti Yes, kualiti gambar adalah lemah dan keadaan ini menjadi lebih teruk apabila bergambar pada waktu malam. Bagi pengguna yang mementingkan kualiti gambar, adalah tidak digalakkan sama sekali. Saya sendiri pun faham, peranti percuma yang perlu dipulangkan pada suatu hari nanti.

10) Pulangkan Semula atau Tidak?
Persoalan ini sering bermain dalam minda dan sering ditanya-tanya oleh guru. Setakat yang difahami, peranti Yes adalah pinjaman oleh syarikat Yes dan perlu dipulangkan kepada mereka pada suatu hari ini. Maka di sini timbul satu keadaan di mana, terdapat warga guru yang 'takut' menggunakan peranti ini kerana berstatus pinjaman. Akhirnya, terdapat peranti Yes yang masih berbalut plastik yang diselimuti kotak biru yang cantik tersorok di dalam almari baju di rumah.


Walaupun begitu, kelebihan peranti tetap ada. Saya cuba senaraikannya secara ringkas iaitu capaian kepada Internet dengan kuota 4Gb  setiap bulan secara percuma. Apabila internet peribadi telah kehabisan, maka Yes Altitude akan bertindak sebagai 'Back Up' dan kelajuan rangkaian masih dalam keadaan yang baik terutamanya pada waktu kemuncak tidak seperti perkhidmatan syarikat telekomunikasi yang lain.

Selain itu, peranti Yes memudahkan saya untuk menghubungi meja bantuan Yes secara percuma apabila sekolah mengalami masalah. Tidak perlu lagi untuk berlari ke pejabat sekolah dan membazirkan kredit telefon sendiri.