Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada 7 dan 8 April yang lalu, Majlis Guru Cemerlang Negeri Selangor telah mengadakan bengkel peningkatan profesionalisme berkaitan bidang ICT di pejabat Apple, Menara CIMB, Kuala Lumpur. Seramai 30 orang guru Cemerlang telah menyertai bengkel berkaitan Apple Teacher Community (ATC) selama 2 hari bermula pada pukul 9:30 pagi hingga 4:30 petang.

Penceramah yang dikenali ramai sebagai pemilik dan pengendali laman sosial ICT terkenal, Cikgu Siber iaitu Cikgu Mohd Razif bin Abdul Razak telah dijemput menyampaikan ilmu ICT berkaitan peranan peranti Ipad dalam pendidikan.

Sejujurnya, apabila disebut peranti jenama Apple kita akan terbayang sesuatu yang bersifat bangsawan, mahal dan tidak berbaloi untuk dimiliki. Itulah pemikiran saya pada permulaan bengkel. Tetapi selepas mengikuti bengkel selama 2 hari itu, aura Apple sudah mula meresap ke dalam jiwa dan tangan telah mula gatal untuk 'menggoogle' harga Ipad 2018 terbaru di pasaran.

Sangat-sangat berbaloi bengkel ATC yang dijalankan dan saya memperoleh pelbagai ilmu berkaitan ICT yang berharga. Di antara ilmu yang disampaikan adalah asas penggunaan Ipad, setting asas yang berguna seperti AirPlay. Mirroring, Screen Recording dan lain-lain lagi. Selain itu, saya turut mempelajari ilmu berkaitan aplikasi menarik Apple untuk pendidikan. iMovie, Dual Screen, Keynote, Garageband, iBooks, Teknologi AR dan lain-lain lagi.