Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ucapan syukur kepada Allah, tuhan empunya alam yang mengatur alam ini dengan sangat indah dan seterusnya telah membenarkan perpindahan aku dan isteriku ke tempat yang dipohon. Alhamdulillah!

Pada lewat bulan Januari 2015 yang lalu, aku mendapati permohonan pertukaran ke negeri Selangor telah diluluskan selepas melalui satu laluan yang tidak diduga sama sekali iaitu 'Semakan Semula Rayuan Pertukaran'. Maka, bermulalah saat di mana hati ini menjadi serba tidak kena akan meninggalkan satu tempat yang mengajarku erti kehidupan yang mencabar di satu ceruk pedalaman di kawasan hulu Kapit, Sarawak. Selama 3 tahun 2 bulan aku bertapak di sana dan kini, aku sudah pun berada di negeriku sendiri, Selangor.

................................................................................................



Sekolah Kebangsaan Nanga Sempili banyak mengajar aku erti kesusahan selama ini. Sebenarnya banyak peluang yang boleh digarap sebagai pengalaman hidup namun hanya secebis yang mampu aku simpan kekal dalam kotak kenangan ini.

...kisah di mana catuan elektrik berminggu-minggu akibat generator elektrik sekolah yang rosak.

...kisah 4 malam tanpa sebarang janaan elektrik dan duduk keseorangan bergelap di kuaters guru.

...kisah beberapa orang murid diganggu mahkluk halus yang datang dari entah mana.

...kisah menaiki dan membersihkan tempat tadahan air sekolah di atas bukit pada waktu kemarau puasa.

...kisah kesedihan TV LCD 32 inci yang rosak akibat arus elektrik yang tidak stabil.

...kisah berperahu pergi dan pulang ke kapit pada hari yang sama.

...kisah beberapa siri ekor ular di dalam rumah dan paling dasyat seekor ular di atas kepala semasa tidur.

...kisah menghantar murid menghadiri motivasi tahun 6 di sekolah pedalaman 3 bulan pada hari pertama puasa.

...kisah tiada langsung jaringan dunia luar akibat kerosakan internet.

...kisah pergi kursus ke Kapit seawal 5.00 pagi menunggu bot ekpress di tepi Sungai Balleh. Bawa sejadah, hampar ditepi sungai dan tunaikan solat subuh 2 rakaat.

...kisah menaiki bumbung bot ekspress berkali-kali kerana ramai manusia hulu lain turun pada waktu yang sama.

...kisah bot ekpress yang senget dan hampir terbalik akibat muatan yang sangat penuh dan sarat.

...kisah berdiri dalam ekpress hampir 3 jam, bermula pukul 5.00 pagi hingga pukul 8.00 pagi

...kisah generator sekolah yang mengeluarkan api pada pukul 5.30 pagi dan berjaya dipadamkan.

...kisah anjing-anjing liar memasuki rumah dan sebanyak 2 kali jugalah rumah telah dibasuh air tanah.

...kisah pintu rumah diketuk sebanyak 3 kali dan bunyi tersebut hilang secara tiba-tiba pada waktu malam.

...kisah berjoging dengan murid asrama pada pukul 5 pagi selepas mengejutkan mereka bangun tidur.

...kisah mengadakan kelas tambahan awal pagi, pukul 5.30 pagi sebagai latihan mental matematik Tahun 6 !

...kisah kejayaan mengangkat 6  daripada 20 tong minyak diesel pada musim kemarau, 1 tong = 20 liter bersama rakan baik.

...kisah Matematik UPSR tahun 2014 mencapai 100% lulus dan 4 orang murid cemerlang 'A'.


Banyak lagi kisah pengalaman-pengalaman hidup selama 3 tahun aku bergelar guru pedalaman di sebuah daerah terpencil Sarawak. Walaupun kau ketinggalan terkebelakang, namun kau tetap di dalam kenanganku. Semoga kita dapat berjumpa lagi.

...Selamat Tinggal Sarawak...
...Selamat Tinggal Kapit...
...Selamat Tinggal SK Nanga Sempili...

Berikut merupakan gambar yang sempat diambil semasa dalam perjalanan kapal terbang dari Sibu ke Kuala Lumpur buat kali terakhirnya.