Assalamualaikum.

Tajuk pada kali ini adalah pengenalan kepada satu perkataan lazim di dalam fotografi iaitu NOISE. Apa maksud kepada perkataan itu? Noise boleh juga bermaksud dengan keadaan yang bising. Bunyi yang menyakitkan telinga bila mendengarnya.

Sebelum kita pergi lebih lanjut lagi. Saya ingin membawakan contoh Noise yang ada seperti di dalam sistem audio. Apabila kelantangan (Volume) sesuatu audio itu dinaikkan, mungkin anda akan terdengar bunyi seperti desiran halus seperti ular. Jika Noise itu berada di dalam sesebuah foto, ia akan wujud sebagai butiran rawak halus yang bertebaran yang kemudiannya dapat menurunkan kualiti sesuatu imej itu.

Kadang-kadang, noise sengaja diwujudkan pada sesuatu imej bagi mencipta suasana yang mengambarkan pada zaman silam atau zaman dahulu. Tidak kira apa cara sekali pun anda lakukan, noise tetap akan wujud walaupun tidak begitu ketara. Noise sering dikaitkan dengan ISO.

Jika ISO sesuatu kamera dinaikkan sebagai contoh kepada ISO 1600, kita akan dapat melihat kehadiran Noise yang banyak pada gambar. Bagi kamera yang mahal, kesan Noise tidaklah begitu ketara walaupun anda telah menaikkan ISO pada tahap yang lebih tinggi. Bagi kamera DSLR yang murah, Noise boleh dilihat dengan jelas pada ISO tinggi yang dilihat menerusi paparan monitor komputer anda. Noise yang banyak dan teruk pastinya tidak akan membuatkan anda duduk dengan senang. Kesan Noise yang banyak turut memberi kesan pada psikologi anda. Anda merasakan kamera anda tidak sebagus yang disangka.

Kadang-kadang, ISO yang dinaikkan bukanlah disengajakan. ISO ditingkatkan kerana kita mahukan kesan kepada kelajuan shutter. Kebiasaannya pada waktu malam, kita akan tingkatkan ISO untuk mendapatkan kelajuan shutter yang lebih tinggi sesuai dengan bukaan maksimum aperture. Apa itu ISO? Definisinya boleh dikatakan sebagai sensitiviti sensor kamera kepada cahaya. Semakin tinggi ISO, semakin peka sensor kepada cahaya. Apabila sensor lebih peka kepada cahaya, cahaya yang masuk akan memberi kesan kepada kelajuan shutter dan menjadikan anda dapat merakamkan imej yang bergerak laju pada suasana cahaya yang kurang.

Sebagai contoh, anda ingin merakamkan gambar anak anda pada waktu malam di dalam rumah. Cahaya di dalam rumah anda tidak begitu terang. Anda mahukan merakamkan imej anak anda yang sedang berposing. Jika anda menggunakan ISO 100 sebagai contoh, gambar menjadi kabur kerana pergerakan anak anda yang cepat. Salah satu caranya untuk mengelakkan gambar yang kabur ialah dengan meningkatkan ISO kamera anda kepada 200 dan seterusnya jika difikirkan sesuai. Andai kata anda telah menggunakan ISO 1600, anda telah berjaya merakamkan imej anak anda dengan sempurna tanpa sedikit kabur, tetapi masalah lain pula yang wujud iaitu anda berperang dengan kehadiran Noise yang tinggi. Noise yang tinggi menjadikan imej anak anda kelihatan teruk atau buruk. Jadi, jika anda memahami tahap ISO kamera anda, anda berpeluang menghindari kehadiran Noise yang banyak.

Gambar dari: LINK

Mengapa ramai yang memilih kamera DSLR, salah satu faktornya adalah kerana kesan Noise pada imej yang kurang dan tidak begitu ketara. Bagi kamera kompak, kehadiran noise masih boleh dilihat walaupun anda menggunakan ISO kamera kompak pada tahap yang terendah.

Mari kita melihat kesan Noise ini pada kamera kompak Casio Exilim EX-FH20. Kamera telah difokuskan pada badan patung superman di bawah.


Gambar dari: LINK

Pada ISO 100, imej masih lagi dalam kualiti yang baik tetapi mula menurun sedikit demi sedikit apabila ISO ditingkatkan kepada ISO 1600. Anda boleh lihat dan bandingkan sendiri. Pada ISO 1600, kehadiran Noise sangat tinggi. Noise boleh dilihat dengan jelas pada imej.

Sampai di sini sahaja penerangan tentang ISO dan NOISE. Selepas ini, anda perlu mengeledah gambar lama yang tersimpan di dalam cakera keras anda dan lihat kepada kesan NOISE padanya. Apa yang perlu anda lakukan untuk mengurangkan Noise itu ialah dengan menggunakan ISO yang paling rendah di dalam kamera anda. Selamat mencuba.

Jika ada kesilapan fakta, adalah amat alu-alukan.